PEMANDU BAS GUNA TELEFON SEMASA MEMANDU SERAH DIRI

GEORGETOWN: Polis telah mengambil keterangan pemandu bas yang tular videonya menggunakan telefon semasa memandu bas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, pemandu bas tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki tersebut bebas daripada pengaruh dadah.
“Suspek telah diambil tindakan di bawah Rule 17A LN166/59 kerana memandu dengan menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan.
“Suspek dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan pemandu bas tersebut serta meminta untuk menyerah diri ke Balai Trafik IPD berhampiran bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
Katanya berdasarkan maklumat nombor pendaftaran bas tersebut adalah ALM9815 milik syarikat KPB dan semasa kejadian bas tersebut dalam perjalanan dari Penang ke Ipoh.
“Tindakan pemandu bas itu boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan hanya kepada penumpang bas tersebut malah kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.—AlHijrah Online