PEMANDU SEBABKAN KEMATIAN 4 BERANAK DIDAKWA MEMBUNUH, DADAH

BENTONG: Pemandu Nissan Navara yang menyebabkan kematian empat beranak 28 Januari lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas empat tuduhan bunuh dan dua tuduhan membabitkan kesalahan berkaitan dadah.

Tertuduh Ahmad Fuad Mohd. Salleh, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan dadah.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penternak ikan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan empat pertuduhan itu, tertuduh pada kira-kira pukul 2.30 petang pada 28 Januari lalu di kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong didakwa membunuh empat mangsa iaitu Raihan Mohamad, 43, Ahda Dalili Mohd. Nazri,14, Ahmad Muaz Mohd. Nazri,7, dan Ahda Imtinan Mohd. Nazri,5.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa pada pukul 12.05 tengah malam 29 Januari lalu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong didapati menggunakan dadah berbahaya jenis methamphatamine dengan cara yang salah.

Manakala pertuduhan keenam pula tertuduh didakwa pada 11.45 pagi 28 Januari lalu di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga di Bentong memiliki 0.75 gram methamphetamine.

Untuk kesalahan berkaitan dadah ertuduh didakwa dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya yang dibaca bersama Seksyen 38 B Akta Dadah Berbahaya.dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) Akta sama.

Majistret Shahrul Ekhsan Hasim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana berdepan dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang akan dipindahan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan keputusan maklumat bedah siasat keempat-empat mangsa dan juga laporan kimia tertuduh.

Pada 28 Januari lalu, mangsa bersama tiga anaknya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di simpang lampu isyarat susur Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong. – AlHijrah Online

Leave a Reply