PEMERGIAN AYAH SATU KEHILANGAN BESAR BUAT KELUARGA – ANAK

Zahari Zakaria (kiri) ditemukan maut pagi tadi oleh orang awam selepas kereta yang dipandunya dipercayai terjunam ke dalam gaung di Jalan Kota Tinggi-Mersing.

JOHOR BAHRU: Penemuan Zahari Zakaria yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ketika perjalanan dari Kemaman, Terengganu ke bandar raya ini, memberi kelegaan kepada keluarganya.

Menyifatkan ia satu kehilangan besar buat keluarga, anak Allahyarham, Ahmad Zubir Zahari, 37, masih terkejut dan sedih, namun reda dan menganggap ia sebagai satu ujian buat keluarganya.

Warga emas berusia 62 tahun itu ditemukan maut pagi tadi oleh orang awam selepas kereta yang dipandunya dipercayai terjunam ke dalam gaung di Jalan Kota Tinggi-Mersing.

“Malam (Ahad) tu ayah bergerak dari Kemaman nak ke Pasir Gudang kira-kira pukul 10 malam dan sepatutnya sampai dalam pukul 3 pagi, tapi mak dan abang saya hubungi ayah tapi tak dapat, jadi itu yang ikhtiar cari. Pencarian di laluan Kemaman ke Johor memang tak jumpa juga.

“Laporan polis pun sudah dibuat, dah hubungi hospital semua pun tiada maklumat, yang saya dapat tahu pasukan pencari jumpa kereta ayah di Jalan Mersing,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Zubir menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang penyayang terhadap anak-anak dan cucu-cucunya dan pastinya pemergian itu akan meninggalkan kesan yang mendalam.

Beliau berkata jenazah ayahnya, yang kini berada di Hospital Mersing untuk bedah siasat, akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Jabor Kubur, Kampung Gong Limau, Chukai, Terengganu.

Terdahulu, seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lepas, ditemukan maut selepas penemuan keretanya di dalam gaung di Kilometer 25, Jalan Kota Tinggi-Mersing, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru di lokasi berkenaan pada jam 9.10 pagi tadi. – AlHijrah Online

Leave a Reply