PEMUDA DITANGKAP AKIBAT PERTIKAI KERJA POLIS

KUALA LUMPUR: Seorang remaja ditangkap akibat mempersoal tugas polis semasa pemeriksaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Brickfields.

Remaja yang berusia 25 tahun itu bertindak menghalang tugas polis semasa pemeriksaan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, berkata pemuda itu dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam bertugas.

Operasi pemeriksaan itu bermula jam lapan malam di sekitar daerah Brickfields dan tertumpu di kawasan kedai, restoran dan tumpuan orang awam.

Sebanyak lima kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis yang gagal patuhi salah satu prosedur operasi standard (SOP) iaitu penjarakan fizikal di dalam kedai.

“Kebanyakan pihak memang mematuhi peraturan, namun terdapat segelintir yang masih ingkar.

“Antara kesalahannya tidak menjaga penjarakan fizikal, tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera atau buku panduan pendaftaran, ada yang tidak memakai mask (pelitup muka)”, katanya.

Zairulnizam berkata pihaknya telah mengeluarkan sejumlah 134 kompaun sejak empat hari pelaksanaan PKPB di daerah itu.

Orang awam dinasihat untuk terus bertanggungjawab dalam mematuhi SOP PKPB supaya penularan wabak COVID-19 ini dapat dicegah.–AlHijrah Online

Leave a Reply