Pencemaran Sungai Selangor bukan kes sabotaj

Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis tolak unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air bersih di Selangor baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, siasatan polis mendapati pencemaran tersebut disebabkan oleh pekerja syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk membersihkan sungai itu.

“Kemungkinan pekerja itu cuai dan berlaku tumpahan diesel semasa kerja-kerja dilakukan, sehingga berlaku pencemaran sungai, siasatan polis sedang menjurus ke arah itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jelajah Autisme: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Abdul Hamid berkata, polis juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini yang dipercayai untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

“Siasatan masih giat dijalankan dan akan selesai dalam masa terdekat.

“Dua tangkapan yang dilakukan sebelum ini, satu telah dijamin dan seorang lagi kita minta lanjutkan tahanan reman untuk polis lengkapkan siasatan,” katanya.

Abdul Hamid menambah, pihaknya memandang serius isu pencemaran sungai yang menjejaskan hampir lima juta pengguna.

“Kita tak main-main dalam isu ini, isu pencemaran yang berlaku di Sungai Kim-Kim menyedarkan kita (agar tidak berulang di tempat lain),” katanya.

Pada 19 Julai lalu, berlaku pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Dua hari kemudian, tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah dikesan.

Polis kemudian memburu tiga orang pemancing yang disyaki menjadi punca berlakunya pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor. – SINAR HARIAN

Leave a Reply