Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu dibuka 1 Ogos

KUALA LUMPUR – Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu akan dibuka sepenuhnya kepada orang awam bermula pukul 6.00 pagi esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, laluan di jambatan angkat itu boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan.
Walau bagaimanapun, pengguna tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Para pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.
“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media petang tadi.
Menurut Ahmad Samsuri lagi, Kerajaan Negeri juga telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator jambatan itu, yang akan dipantau dan diberi latihan oleh pihak kontraktor utama sehingga 30 September 2019.
Beliau turut berharap adanya jambatan ikonik ini akan merancakkan lagi industri pelancongan negeri dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat, sekaligus mengangkat nama Terengganu di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap agar agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam salah satu pakej lawatan pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada,” tambah beliau.
Sebelum ini, jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter yang menghubungkan muara selatan di pusat Bandar Raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir itu dibuka kepada orang awam untuk percubaan pada 2 hingga 17 Jun lalu.
Tempoh percubaan itu bagi pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem isyarat jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.