PENDUDUK DI KAWASAN PKPD DIBERI AMARAN TIDAK LARI

IPOH: Penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ipoh diberi amaran tidak membuat sebarang cubaan melarikan diri atau keluar dari kawasan kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, polis akan mengesan mana-mana individu yang cuba mengelak daripada membuat ujian calitan dan dikenakan PKPD.

“Ujian calitan komuniti telah dibuat dan pihak kami akan pergi dari rumah ke rumah mengikut maklumat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Jika ada mereka yang dikatakan telah cuba keluar dari semalam, kita akan cuba mengesan mereka seperti mana yang dibuat sebelum ini. Sebab data pendaftar milik rumah dan penyewa kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Zon B Taman Pinji Mewah, Lahat yang bermula hari ini hingga 14 Disember.

Menurut Acp A. Asmadi, semua laluan utama serta lorong tikus di lokasi yang dikenakan PKPD telah ditutup mulai tengah malam tadi dan sentiasa dipantau anggota unit beruniform.

Katanya, 180 anggota beruniform ditugaskan secara bergilir-gilir membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi terbabit.

Tambah beliau, pasukan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) turut digerakkan bagi memberi hebahan awam atau sebarang maklumat berkaitan PKPD kepada penduduk di kawasan terlibat.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD dikenakan di kawasan Zon B Taman Pinji Mewah dan Zon A Taman Klebang Jaya, Ipoh bermula 1 hingga 14 Disember.

Ia menjadikan tiga lokasi di bandar raya itu telah dikenakan PKPD 14 hari selepas Zon B dan C, Taman Meru 2C yang dijadualkan berakhir pada 3 Disember ini. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply