PENGAWAL KESELAMATAN MAUT DALAM NAHAS DIGILIS KENDERAAN

MELAKA: Seorang pengawal keselamatan maut akibat digilis sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Bukit Piatu, pagi tadi.

Mangsa R. Murali, 46, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal jenis Honda NF100 yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 9 pagi itu melibatkan mangsa yang bergerak lurus di Lebuh AMJ dari arah Bukit Palah menghala ke Semabok.

“Siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila mangsa ketika melalui persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu telah bergesel dengan sebuah kenderaan lain yang belum dapat dipastikan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum digilis kenderaan berkenaan mengakibatnya maut ditempat kejadian,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat selain kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Waris mangsa telah dikesan dan diminta hadir ke Forensik Hospital Melaka untuk proses pengecaman mayat dan usaha mengesan saksi kemalangan sedang dijalankan.

“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup di lokasi kemalangan dan setakat ini tiada saksi bebas yang tampil membantu siasatan,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply