PENGEBUMIAN LANCAR, WAJAH AMIR SEGAR

JASIN: Jenazah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemukan lemas dalam tong air di rumahnya pada Jumaat lalu di Taman Krubong Jaya, selamat dikebumikan tengah hari tadi.

Pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Padang Besar itu dihadiri oleh keluarga kandung dan keluarga angkat kanak-kanak itu.

Jenazah dituntut waris keluarga ibu kandung di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka pagi tadi dan dimandikan serta disembahyangkan di Madrasah As Syakirin sebelum dikebumikan.

Pada awalnya pihak polis membenarkan liputan media diadakan, bagaimanapun atas permintaan keluarga kandung pihak media diminta untuk tidak berada di perkarangan tanah perkuburan tersebut untuk membuat liputan.

Ia sekaligus menamatkan teka-teki lokasi pengebumian arwah yang mana ibu angkatnya membesarkan sejak mangsa dilahirkan merayu untuk jenazah dibawa ke Rawang, Selangor, tetapi ditolak oleh keluarga kandung.

Meskipun jenazah tidak dapat dikebumikan di kawasan kediaman keluarga angkatnya, namun ibu angkat serta anaknya lega urusan pengebumian dapat disegerakan serta berjalan lancar.

Ibu angkatnya, Norlida Abu Hassan, 50 tahun berkata mereka sekeluarga reda dan menyimpan hasrat untuk kerap menziarahi pusara anak angkat yang dipelihara mereka sejak lahir itu.

“Terima kasih kepada keluarga kandungnya yang bekerjasama dengan Umi sehingga selesai.

“Abang dia mimpi, minta (urusan) dia dipercepatkan, Alhamdulillah semua berjalan lancar, dan wajah dia bukan seperti mayat yang mati tiga atau empat hari.

“Muka dia segar macam sedang tidur, dia selalu tidur dengan Umi bersebelahan, sebab dia anak syurga kan.,” kata ibu angkatnya.

Terdahulu, kejadian Jumaat lalu melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Kanak-kanak itu didakwa lemas dalam tong air, namun siasatan awal polis mengesahkan terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Proses bedah siasat mayat kanak-kanak tersebut bermula kira-kira jam 11 pagi, Ahad lalu sebelum selesai jam 10 malam tadi.—AlHijrah Online

Leave a Reply