SATU KAMPUNG PELUK ISLAM

LAHAD DATU: Keprihatian pendakwah, Ustaz Ebit Lew terhadap golongan kurang bernasib baik sememangnya dikagumi ramai pihak.

Bantuan disampaikan beliau bukan sahaja berbentuk wang tunai dan barangan, tetapi juga sokongan moral melalui kata-katanya yang lembut dan menyentuh hati.

Terbaharu dalam perkongsian di laman Facebook rasminya, Ebit Lew berkongsi kegembiraannya apabila kira-kira 157 orang di Pulau Tatagan Semporna mengucap syahadah tanpa paksaan ketika beliau ke sana dalam misi untuk menghantar bantuan.

“Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara. Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.

“Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi,” katanya.

Ujar Ebit Lew, penduduk kampung dari suku Bajau Laut atau sering dipanggil “gipsi laut” itu percaya dengan perkongsiannya tentang keindahan Islam dan terus melafazkan syahadah.

Beliau turut memaklumkan akan terus menghulurkan bantuan makanan di seluruh kampung atas laut itu dan kini sedang berusaha untuk membina sekolah dan guru agama untuk mengajar penduduk di situ. — AlHijrah Online

Leave a Reply