AKTA 342 MASIH DIGUNA PAKAI DALAM ORDINAN DARURAT

KUALA TERENGGANU: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih diguna pakai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, akta tersebut dapat membantu dalam tempoh pelaksanaan Ordinan Darurat.

Jelasnya, akta yang diwartakan sejak tahun 1988 itu masih lagi dalam proses untuk pindaan berikutan jumlah kompaun maksimum yang diperuntukkan hanya RM1,000.

“Akta 342 masih digunakan, dalam masa yang sama kita masih mengikut Akta Darurat yang membantu bagi pelaksanaan akta tersebut.

“Contohnya, sijil amalan, yang dikhususkan untuk doktor atau jururawat di sesuatu tempat, kita gunakan ordinan darurat yang membenarkan mereka berkhidmat di tempat-tempat lain mengikut keperluan,” katanya selepas pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Terdahulu, KKM sudah menyerahkan draf pindaan Akta 342 kepada Peguam Negara bagi mengkaji semula kadar kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini mencadangkan kenaikan nilai kompaun ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan drastik kes positif harian COVID-19.

Abdul Hamid berkata, setiap minggu ribuan saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan tidak mengamalkan penjarakan sosial.–AlHijrah Online

Leave a Reply