PENGGUNAAN KATIL ICU COVID-19 MENCAPAI 91 PERATUS

SUMBER GAMBAR FB NOOR HISHAM ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 secara keseluruhan di Malaysia telah mencapai 91 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Lembah Klang, angka itu telah mencapai 113 peratus.

“Bagi menampung peningkatan ini, hospital-hospital terpaksa menukar fungsi lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

“Walau bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan,” kata Dr Noor Hisham menerusi catatan di laman Facebook rasminya.

Sebagai contoh, Hospital Sungai Buloh katanya telah menukar sebahagian daripada Jabatan Kecemasan menjadi tempat rawatan kritikal atau ICU.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Lakukanlah kawalan pergerakan kendiri dengan kekal duduk di rumah. Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada SOP,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menyeru majikan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa. — AlHijrah Online

Leave a Reply