PENINGKATAN AGIHAN KEUNTUNGAN KEMBALIKAN KEYAKINAN PENDEPOSIT TH – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Pengumuman agihan keuntungan selepas zakat Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak 3.05 peratus dilihat mengembalikan kepercayaan pendeposit setelah jumlah dividen diterima agak rendah pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pengumuman itu juga dijangka memberi galakan kepada pendeposit untuk terus melabur dan menyimpan wang bersama TH.

“Keuntungan yang dicatatkan ini menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

“Cabaran terbesar TH adalah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka, setelah berlakunya ketidaktentuan pasaran saham berikutan perang dagangan di peringkat global.

“Saya percaya pihak TH dan semua pihak yang berkaitan telah menggembleng sepenuh tenaga mereka, dan berusaha sehabis baik dalam melaksanakan tugasan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini susulan pengumuman agihan keuntungan TH semalam.

Menerusi satu kenyataan semalam, TH mengisytiharkan agihan keuntungan selepas zakat 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 membabitkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM913 juta bagi tahun kewangan 2018.

Prestasi kewangan yang semakin kukuh itu ekoran strategi pelaburan mapan serta langkah pengurusan kos secara berhemat TH.

Mengucapkan tahniah kepada ahli lembaga pengarah dan pengurusan TH, Zulkifli berkata pengumuman semalam sudah pasti menggembirakan semua pendeposit selepas berlaku unjuran positif dalam keuntungan berbanding tahun kewangan yang lepas pada 2018.

“Saya menyeru semua pihak agar meletakkan sepenuh keyakinan kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH yang sentiasa berdedikasi dan memahami halatuju TH dalam menjalankan urus tadbir.

“Penubuhan TH adalah berlandaskan niat yang suci, untuk membantu umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam yang kelima,” katanya.

Zulkifli berharap TH akan dapat mencatat lebih banyak keuntungan di masa akan datang, sekali gus menyumbang untuk pembangunan ekonomi ummah. – AlHijrah Online

Leave a Reply