PENUBUHAN STESEN TV ISLAM TUMPUAN SIDANG KEMUNCAK KL

Oleh Zaim Zamani

PUTRAJAYA: Penubuhan televisyen Islam untuk mengatasi masalah Islampfobia akan menjadi antara perkara utama dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur dijadualkan Disember ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata saluran media itu penting untuk melawan tanggapan negatif terhadap Islam dan memberi maklumat tepat berhubung cara hidup sebenar.

“Kalau kita ada TV yang khusus menerangkan apa itu Islam, apa yang telah kita buat dan apa yang telah kita capai dan sebagainya serta menjelaskan punca berlaku keganasan.

“Sebagai contoh kenapa orang Muslim terlibat dalam kelakuan keganasan. Jadi stesen TV ini sangat penting,” katanya dalam sidang media khas sempena penganjuran Sidang Kemuncak Kuala lumpur.

Tun Mahathir berkata idea penubuhan stesen TV itu dicapai hasil pertemua beliau dengan dua lagi pemimpin Islam iaitu Preside Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Beliau berkata penubuhan stesen TV itu dicadangkan untuk disiarkan di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa.

Katanya, selain memperjelaskan cara hidup Islam kepada bukan Muslim, kandungan televisyen itu boleh digunakan umat Islam untuk mendalami agama suci itu.

“Kami fikir untuk lakukan perkara selain deklarasi. Sebagai contoh idea penubuhan televisyen khas ini adalah langkah ke depan yang kita ambil selain deklarasi.

“Kita hendak buat perkara yang kita boleh jelaskan perkara yang dihadapi umat Islam dan mungkin cari jalan penyelesaian untuknya,” katanya.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur dijangka akan diadakan pada Disember tahun ini.

Acara itu merupakan pertama kali dianjurkan Malaysia bakal menghimpunkan ramai pemimpin Islam antarabangsa untuk membincangkan isu-isu menghimpit dunia Islam. — AlHijrah Online

Leave a Reply