Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PENUMPANG WANITA MAUT DUA KERETA BERTEMBUNG

DALAM NEGARA

PENUMPANG WANITA MAUT DUA KERETA BERTEMBUNG

Seorang wanita maut manakala lima individu lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Beting Lintang, Terengganu, petang semalam.

JERTIH: Seorang wanita maut manakala lima individu lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Kampung Beting Lintang, Terengganu, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut Deputi Superintenden (DSP) Md Sani Md Saleh berkata dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Norra Zafidah Ahmad Zaibidin, 45, yang berada di bahagian penumpang belakang kereta Honda City meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Honda City dipandu bapa saudara mangsa berusia 62 tahun bersama dua penumpang lain berusia 19 dan 56 tahun dari arah Kuala Terengganu menghala ke Bachok, Kelantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah Kampung Raja dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama penumpang lelaki berusia 20 tahun dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

“Mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Myvi tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di kepala serta abdomen sementara mangsa lain dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat manakala mangsa lain dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Sementara itu, Md Sani menambah saringan awal sampel darah terhadap pemandu Perodua Myvi mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-4384239. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading