PERBINCANGAN SALURAN TV BERBAHASA INGGERIS UNTUK TANGANI ISLAMOPHOBIA BERMULA

KUALA LUMPUR : Perbincangan untuk mewujudkan saluran televisyen berbahasa Inggeris – yang dicadangkan Pakistan, Turki dan Malaysia untuk membanteras Islamophobia – bermula dengan mesyuarat teknikal antara Pakistan dan Turki.

Duta Turki ke Malaysia Merve Safa Kavakci berkata Pengarah Komunikasi Presiden Turki Fahrettin Altun mengetuai delegasi untuk mengadakan pertemuan dengan wakil Pakistan mengenai perkara itu minggu lalu.

Saluran televisyen itu khas untuk menangani Islamophobia, dicadangkan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad semasa mesyuarat tiga hala di luar sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bulan lalu.

Khan mendedahkan mengenai inisiatif menerusi ciapan selepas bertemu dengan pemimpin Malaysia dan Turki itu di New York.

Kavakci berkata perkara itu dijangka dibincangkan lebih lanjut semasa lawatan rasmi Erdogan ke Pakistan menjelang akhir bulan ini.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kita harus mempunyai idea lebih baik mengenai projek ini. Semua pihak perlu serius dalam perkara ini.

“Kita akan dapat lihat hasilnya dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu wawancara di pejabatnya, di sini, Isnin.

Kavakci percaya syor itu dibuat berdasarkan persefahaman ketiga-tiga pemimpin yang bimbang terhadap umat Islam dan sentimen anti-Islam yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Beliau berkata projek itu menjadi serampang dua mata, terdiri saluran televisyen serta platform media sosial, dalam usaha menyebarkan maklumat dan mengetengahkan imej positif tentang Islam kepada dunia.

“Saluran televisyen akan menjadi sebahagian usaha meluas untuk mengatasi sentimen anti-Islam, jenayah kebencian dan perkauman terhadap agama serta umat Islam,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia dan Turki menjadi contoh terbaik kepada dunia di mana rakyat hidup secara harmoni biarpun berbeza agama dan budaya.

“Itulah yang cuba kami usahakan. Kita hanya perlu membawa contoh tempatan ke arena antarabangsa untuk menunjukkan bahawa ia bukan sesuatu yang mustahil…bagi menghapuskan tanggapan dan prasangka salah mengenai agama dan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kavakci berkata Turki bersedia untuk menerajui dan menjadi pangkalan operasi bagi projek itu.

“Kami sanggup menjadi tuan rumah saluran televisyen itu, kerana kami mempunyai kapasiti dan kepakaran teknikal untuk melakukannya,” ujarnya. — BERNAMA

Leave a Reply