PERLUMBAAN BATTLE OF THE KING 2022 DIHENTIKAN SERTA-MERTA

Gambar kenderaan dipandu mangsa maut.

KUALA NERUS: Perlumbaan Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak dekat sini dihentikan serta-merta, selepas seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Kejadian itu dimaklumkan oleh penganjur BOTK 2022, MUSC Motorsport menerusi laman sosial Facebook rasminya.

Menurut penganjur, siri perlumbaan yang sepatutnya berakhir esok ditamatkan serta-merta hari ini dan akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain, bagi menghormati mangsa dan keluarga.

“MUSC mengucapkan salam takziah kepada Apeh Jamal dan keluarga. 

“Sebagai penghormatan, pihak pengurusan, semua rakan program dan pasukan drag, mengambil keputusan untuk menangguhkan acara BOTK 2022 ini ke suatu tarikh lain yang akan ditentukan kelak,” menurut kenyataan itu.

Menurut sumber seorang pelumba drag Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, maut sewaktu menyertai perlumbaan drag BOTK 2022 pada 11.35 pagi tadi.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Mitsubishi Lancer Evo yang dipandunya, hilang kawalan lalu terbabas melepasi trek perlumbaan sebelum merempuh sebatang pokok.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din mengesahkan kejadian tersebut. – AlHijrah Online

Leave a Reply