PERSENDA GURU MENGAJAR, DJ RADIO LETAK JAWATAN

KUALA LUMPUR: Penyampai Radio Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri (DJ Yusuf) meletak jawatan daripada stesen radio tersebut susulan videonya tular kerana menyindir seorang guru Sains di aplikasi TikTok.

Perletakan jawatan DJ Yusuf tersebut akan berkuat kuasa pada 22 Februari, yang disahkan oleh pengurusan stesen radio terbabit menerusi ciapan di Twitter.

“Hitz komited dalam menyampaikan maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Hasil siasatan dalaman berhubung kontroversi membabitkan salah seorang penyampai Hitz FM, kami menerima peletakan jawatan (DJ Yusuf) berkuat kuasa pada 22 Februari 2021,” dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini, penyampai radio yang berusia 29 tahun itu dikecam warganet selepas video reaksinya mentertawa dan mempersendakan sebutan bahasa Inggeris guru Sains di saluran DidikTV.

Susulan itu, DJ Yusuf telah digantung kerja pada 19 Februari lalu.

Bagaimanapun, Pengurus Besar Astro Radio Malaysia Timur, Hafiz Nizamuddin tampil membuat permohonan maaf dan meluahkan rasa kesal atas perlakuan Yusuf itu.–AlHijrah Online

Leave a Reply