PERTEMPURAN GAZA-ISRAEL TIDAK BERAKHIR

GAZA: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berkata pada Ahad bahawa pertempuran dengan Israel “tidak berakhir” walaupun gelombang keganasan di Gaza baru berakhir.

Memetik laporan agensi berita Xinhua, Haniyeh membuat kenyataan itu selepas memberikan ucapan takziah kepada keluarga Abu Malhous yang kehilangan lapan anggotanya dalam insiden keganasan antara rejim Israel dan Jihad Islam Palestin.

“Kemenangan kami di pusingan lepas tidak dihitung dengan jumlah roket dilancarkan atau kerugian dialami, tetapi melalui fakta bahawa kumpulan penentang berjaya melumpuhkan entiti (Israel) ketika ketegangan berlaku,” katanya kepada pemberita.

Minggu lepas, gelombang baru keganasan berlaku antara Israel dan kumpulan penentang Gaza selepas Israel mengebom rumah komander Jihad Islam, Baha Abu al-Atta, membunuhnya dan isterinya.

Sebagai tindak balas, kumpulan militan melancarkan roket ke Israel, sebelum pesawat tempur rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza yang membunuh 35 warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Khamis lalu, Mesir mempelopori gencatan senjata antara kedua pihak, yang kekal rapuh ketika roket dilancarkan dari Gaza dan pesawat Israel menyerang wilayah konflik itu.

Sementara itu, Khaled al-Batsh, pemimpin kanan Jihad Islam, membantah kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa Israel tidak berjanji apa-apa di Gaza sebagai balasan gencatan senjata itu.

Beliau memberi amaran kepada Netanyahu supaya tidak memanipulasi perjanjian gencatan senjata yang dicapai minggu lalu di bawah kelolaan Mesir dan PBB.

“Perjanjian gencatan senjata itu dengan syarat jenayah pencerobohan Israel dihentikan,” kata al-Batsh. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply