Petugas kesihatan terkandas lebih 10 jam
KUALA LUMPUR – Disebabkan hujan lebat semalam beberapa jalan utama di Gua Musang, Kelantan telah rosak teruk selepas dinaiki air. Ini menyebabkan tiga kakitangan Jabatan Kesihatan Kelantan bersama-sama kenderaan mereka terkandas lebih 10 jam di kawasan hutan di Kampung Serasah, Pos Bihai, Gua Musang, lapor Utusan Online.
Menurut portal itu mereka yang terkandas ialah Rusdi Nor, 57, Abdul Basir Ahmad, 48, dan Mohd. Ruswadi Ab. Hamid, 38 yang berada di tempat berkenaan untuk menjalankan tugas mereka sebagai pegawai kesihatan di perkampungan Orang Asli itu sejak tiga hari lalu.
Bagaimanapun semasa dalam perjalanan keluar dari kawasan itu, hujan lebat telah menyebabkan jalan yang digunakan oleh lori balak rosak teruk dan tidak dapat digunakan sama sekali.
Difahamkan operasi menyelamat dilakukan pasukan keselamatan yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Hasri Hussin memberitahu, pihaknya segera melakukan operasi menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4 petang.
Katanya, pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa terkandas pada pukul 8.31 malam dan berjaya mengeluarkan mereka pada pukul 10.34 malam.
“Kumpulan tersebut cuba keluar dari hutan berkenaan namun gagal berikutan laluan balak rosak. Ketika mereka dijumpai, mereka sudah tidak bermaya selain cedera ringan,” katanya ketika dihubungi portal itu.
Beliau memberitahu, operasi tersebut turut melibatkan 12 anggota polis, bomba dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).