PILIHAN RAYA AZERBAJIAN BERMULA, WANITA 126 TAHUN ANTARA YANG MENGUNDI

Last Updated on

BAKU: Pilihan raya parlimen Azerbaijan yang bermula hari ini (9 Feb), menyaksikan seramai 5.3 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing termasuk seorang wanita berusia 126 tahun yang menjadi pengundi tertua.

Daripada keseluruhan jumlah pengundi berdaftar 50 peratus terdiri mereka berumur 40 tahun ke bawah.

Pengundian bermula 8 pagi dan ditutup 7 malam (waktu tempatan) dengan sebanyak 5,573 pusat mengundi dibuka.

Sebanyak 19 parti politik termasuk Parti Baharu Azerbaijan (YAP) pimpinan Presiden Ilham Aliyev, bertanding untuk merebut 125 kerusi Dewan Undangan Negeri (Majlis Milli) membabitkan seramai 1,325 calon.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) Azerbaijan  Mazahir Panahov pada sidang media yang turut disertai wartawan asing, berkata pihak CEC sudah bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya. 

Katanya, apa yang menarik pada pilihan raya kali ini ialah lebih 90 peratus calon yang bertanding merupakan siswazah universiti.

Sementara itu pengundi tertua, Allahverdiyeva Samargan sebelum ini pernah mengundi pada pilihan raya presiden 2018.

“Dilahirkan pada 1894, beliau tinggal di wilayah Barda di Azerbaijan. Wanita berusia 126 tahun itu telah menyaksikan pilihan raya untuk tempoh tiga abad,” kata Panahov.

Pengundi lelaki tertua pula Ahmadov Shahverdi berusia 108 tahun.

Panahov berkata 6,189 orang merupakan pengundi kali pertama dan umur layak mengundi ialah 18 tahun ke atas.

Selain itu, kira-kira 79 peratus calon terdiri lelaki dan 21 peratus wanita.  

Pilihan raya kali ini sangat telus kerana mengundang seramai 89,676 pemerhati tempatan dan 883 pemerhati antarabangsa, kamera web turut dipasang di 1,000 stesen mengundi. Seramai 199 wakil media tempatan dan asing dibenarkan membuat liputan.

Pada pilihan raya parlimen 2015, parti YAP pimpinan Presiden Ilham Aliyev memenangi 69 daripada 125 kerusi.

Selepas memperoleh kemerdekaan dari Rusia pada 1918 dan sebelum penggabungannya ke Kesatuan Soviet pada 1920, Azerbaijan mendapat penghargaan sebagai negara demokratik pertama di dunia Islam. Pada Oktober 1991, Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaannya dari Kesatuan Soviet. — BERNAMA

Leave a Reply