PLUS LAKSANA TRANSAKSI TOL RFID BERMULA 15 JANUARI 2022

Sumber Gambar: ARKIB

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan melaksanakan transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) bagi laluan Juru, Pulai Pinang hingga ke Skudai, Johor, bermula 15 Januari 2022.

Dalam kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan lorong RFID akan tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung selaras kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” kata kenyataan itu.

Inisiatif transaksi tol menggunakan RFID adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di plaza tol di samping selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.

Sehubungan itu, KKR mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.–AlHijrah Online

Leave a Reply