PN SETUJU ISMAIL SABRI CALON PM KE-9 DENGAN BERSYARAT – MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) sebulat suara mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-9 dengan bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau perlu memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Jelas Muhyiddin, keputusan tersebut diambil kerana PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Ahli politik katanya mesti berjiwa besar apabila berhadapan dengan situasi krisis, demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berharap proses pelantikan PM baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply