‘DINE-IN’ DIBENARKAN DI SEMUA FASA PPN BAGI INDIVIDU LENGKAP VAKSIN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Aktiviti ‘dine-in’ atau makan di premis makanan dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya, berkuat kuasa pada Jumaat 20 Ogos.

Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengusaha-pengusaha premis kedai makan disarankan untuk menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih
baik.

“Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk ‘dine-in’ mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak-anak anda mematuhi SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, operasi pasar malam dan pasar minggu adalah dibenarkan yang mana pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Muhyiddin mengingatkan vaksinasi individu dikira lengkap hanya selepas 14 hari suntikan dos kedua Sinovac, Pfizer atau AstraZeneca atau selepas 28 hari selesai menerima vaksin satu dos, Johnson & Johnson dan CanSino.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply