POLIS BUKA KERTAS SIASATAN KES KANAK-KANAK AUTISME LEBAM DI TELINGA

BUKIT MERTAJAM: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang menghidap autisme mengalami kecederaan di telinga, didakwa didera seorang guru dalam kejadian di sebuah sekolah di Seberang Jaya di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu yang turut tular di media sosial.

“Ekoran daripada kejadian itu yang berlaku pada 19 Julai lepas, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu kanak-kanak tersebut di Balai Polis Seberang Jaya…kejadian berlaku di sekolah pendidikan khas kira-kira pukul 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian disyaki berlaku semasa mangsa dikatakan bertindak agresif di dalam kelas sehingga menyebabkan beberapa pelajar lain takut dan menangis.

Tan berkata akibat tindakan kanak-kanak itu, seorang guru wanita berumur 30-an telah datang dan memegang kedua-dua belah telinga mangsa untuk menenangkannya.

Katanya, perbuatan suspek itu telah menyebabkan kanak-kanak tersebut mendapat kesan lebam pada dua-dua belah telinga dan mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan kejadian tersebut kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, dalam satu hantaran di Facebook, ibu kepada kanak-kanak berkenaan mendakwa anaknya didera di sekolah oleh seorang guru sehingga meninggalkan kesan lebam teruk pada kedua-dua belah telinganya kerana dikatakan aktif di dalam kelas.

Wanita itu turut memuat naik dua keping gambar menunjukkan telinga kanak-kanak itu yang berwarna kebiruan-biruan sebagai bukti kepada dakwaannya itu dan selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan kesan lebam itu berpunca daripada penderaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply