POLIS HULUR BANTUAN KEPADA IBU YANG TERPAKSA MENCURI DEMI ANAK SAKIT

PETALING JAYA: Kasihnya ibu pada anak tiada tolak bandingnya, sehingga terpaksa korbankan diri dengan mencuri makanan dan dua pek Kool Fever untuk anak-anaknya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Bin Mohd Faisal hari ini berkunjung ke rumah wanita itu untuk menyampaikan bantuan kepadanya yang hidup dalam kesusahan di sebuah flat kos rendah, di sini.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis itu, beliau dimaklumkan semalam bahawa pihaknya menerima laporan kecurian tersebut di sebuah pasar raya.

Suspek tersebut ditahan kerana disyaki mencuri kek pandan, sosej dan dua pek Kool Fever untuk anak-anaknya.

“Mencuri itu satu jenayah, tetapi untuk menghukum keluarga miskin yang sedang kelaparan juga adalah sesuatu yang tidak betul.

“Saya rasa terpanggil untuk pergi berjumpa dengan wanita ini dan saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia tidak buat perkara tersebut,” kata Nik Ezanee.

Menerusi muat naik di Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee mewakilkan IPD Petaling Jaya serta Jabatan Kebajikan Masyarakat menyumbangkan barangan makanan dan barangan harian untuk membantu keluarga tersebut sewaktu tempoh penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, pihak polis mendapat maklumat bahawa keluarga tersebut mengalami masalah kewangan di mana pendapatan suaminya terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nik Ezanee menasihati wanita tersebut untuk tidak melakukan jenayah, dengan meminta bantuan daripada pusat zakat terdekat ataupun masjid.

Tambahnya lagi, jika mereka terpaksa berhadapan dengan situasi terdesak, kehadirannya dialu-alukan ke balai polis untuk diberikan bantuan.—AlHijrah Online

Leave a Reply