PKP 2.0: KEDAH BENARKAN SOLAT JUMAAT MAKSIMUM 50 JEMAAH

ALOR SETAR: Kebenaran solat Jumaat di Kedah hanya untuk pegawai, ahli jawatankuasa masjid serta maksimum 50 jemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan dilaksanakan pada Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, untuk ibadah solat fardu hanya lima pegawai atau ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja dibenarkan untuk solat secara berjemaah.

“Jawatankuasa masjid serta surau bertanggungjawab membuat ketetapan bersesuaian berkaitan pemilihan ahli kariah yang dibenarkan serta hal ehwal pengurusan jemaah dalam memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau,” katanya dalam kenyataannya.

Ujarnya, individu yang tidak memakai pelitup muka atau tidak membawa sejadah sendiri, tidak dibenarkan memasuki premis masjid atau surau, termasuklah kanak-kanak 12 tahun ke bawah.

Masa yang diberikan untuk solat Jumaat tidak harus melebihi 45 minit bermula dari azan hingga selesai solat, manakala solat fardu pulah hanya dalam 20 minit sahaja.

Bagaimanapun, seperti yang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), program keagamaan dan majlis ilmu serta aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti kenduri dan gotong-royong juga tidak dibenarkan.

“Pengurusan jenazah (bukan COVID-19) dan solat jenazah di masjid adalah dibenarkan dan tidak melebihi 20 orang dengan penjarakan fizikal, terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga si mati sahaja,” katanya.

Mana-mana masjid atau surau yang melanggar atau tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan, serta kebenaran melaksanakan aktiviti yang dinyatakan boleh ditarik balik serta-merta.

Tambahnya lagi, perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan semua majlis akad nikah di seluruh negeri ini ditangguhkan bermula 22 Jan ini hingga tamat PKP.—AlHijrah Online

Leave a Reply