POLIS KENAL PASTI EMPAT INDIVIDU TULAR LANGGAR LAMPU ISYARAT

LUMUT: Polis telah mengenal pasti seorang pemandu lori dan tiga penunggang motosikal yang dirakam melakukan kesalahan trafik di persimpangan lampu isyarat Kampung Acheh, Seri Manjung di sini yang tular semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata keempat-empat individu berumur 18 hingga 30 tahun itu berjaya dikesan dan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
“Polis mengesan video yang tular berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.20 malam Rabu yang dimuat naik menerusi akaun Facebook bernama Chi Chot yang dipercayai berlaku pada 4.50 petang Selasa lepas.
“Video berdurasi 16 saat itu memaparkan empat individu bergerak dalam keadaan lampu isyarat masih merah berhampiran Kilang YTY Kampung Acheh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 167/59) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Muhammad Asyraf Henry Philip melalui talian 016-5572540.
Beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan termasuk memandu dengan berhemah dan tidak melanggar lampu isyarat. –AlHijrah Online