POLIS SIASAT KANAK-KANAK WARGA ASING MINTA SEDEKAH LAGAK SAMSENG

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai warga asing yang tular videonya baru-baru ini meminta sedekah dengan lagak samseng, di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior ACP Saiful Annuar Yusoff berkata, individu terlibat dalam kegiatan tersebut boleh dikenakan beberapa tindakan di bawah peruntukan undang-undang.

Katanya, di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan sesiapa yang menyebabkan atau membenarkan kanak-kanak jagaannya berada di premis atau jalanan untuk mengemis boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda mencecah RM20,000.

“Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan (bahaya atau galangan di jalan awam atau haluan pelayaran awam) hendaklah didenda yang boleh sampai RM400.

“Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 menyatakan sesiapa yang meminta sedekah di tempat awam dan mempunyai atau boleh mencari pekerjaan yang sah untuk hidup adalah dianggap pemalas boleh didenda tidak melebihi RM100, penjara sebulan atau kedua-dua sekali,” katanya, hari ini.

Saiful Annuar memberi amaran keras kepada masyarakat untuk tidak terlibat dalam apa sahaja aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah ke hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran.–AlHijrah Online

Leave a Reply