#RASUAHBUSTERS DESAK LPPR LEBIH TELUS, LANJUT SIASATAN TERHADAP KETUA PESURUHJAYA SPRM

KUALA LUMPUR: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) diminta untuk lebih telus dalam memperincikan dan melanjutkan siasatan terhadap dakwaan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata walaupun LPPR telah tampil memperjelaskan kemelut kepimpinan tertinggi SPRM, ia sebenarnya mendedahkan jawapan yang mengundang lebih banyak persoalan kepada rakyat.

“Kelemahan siasatan LPPR telah menimbulkan persepsi bahawa SPRM gagal berfungsi secara bebas.

“#RasuahBusters menegaskan bahawa kontroversi peribadi tersebut langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang begitu teruk terjejas akibat salah laku para pegawainya pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan.

Azam sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Pada Rabu lalu, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang media khas menyatakan LPPR yang juga satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM, mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan membabitkan Azam dalam urus niaga saham pada 2015.

Ujarnya, LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lalu telah mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memaklumkan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membuat urus niaga dan beliau tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli tersebut. — AlHijrah Online

Leave a Reply