Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PROGRAM HIBURAN: ZULKIFLI JUMPA SAIFUDDIN

DALAM NEGARA

PROGRAM HIBURAN: ZULKIFLI JUMPA SAIFUDDIN

PUTRAJAYA: Hiburan yang tidak berlebihan, apatah lagi dalam kaedah psikoterapi yang menerapkan elemen agama, adalah pendekatan yang amat baik dalam situasi yang menekan pada masa ini.

Dalam catatan di Facebooknya hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Albakri berkata, Islam tidak menolak sebarang bentuk hiburan yang tidak bertentangan dengan agama.

Catatan itu dimuatnaiknya sebagai mengulas pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

Pertemuan itu bagi berkongsi beberapa buah fikiran dan pandangan berhubung penganjuran program hiburan yang tular kebelakangan ini.

Program berkenaan disifatkan sebahagian rakyat negara ini sebagai ‘patut dibatalkan’.

“Dalam masa yang sama, beberapa isu sensitiviti umat Islam seperti bulan Maulidurrasul yang masih berbaki beberapa hari, perlu diberi pertimbangan sebaiknya.”

Sementara itu, Zulkifli berterima kasih kepada Saifuddin di atas keprihatinan dan komitmennya untuk menghubungi penganjur program hiburan berkenaan, di samping meneliti ruang penambahbaikan yang sesuai.

Beliau turut memahami impak pandemik COVID-19 kepada kru penerbitan dan belakang tabir yang terjejas pendapatan mereka, lebih-lebih lagi yang bekerja sepenuh masa dalam industri itu, malah menawarkan apa-apa bantuan jika diperlukan.

“Jika ada apa-apa yang boleh kami (agensi-agensi agama di peringkat Persekutuan) hulurkan bantuan, saya amat berbesar hati.”

Sejak Mac hingga kini, RM360 juta telah disalurkan kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara, yang terjejas berikutan impak penularan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menguar-uarkan bahawa agensi yang dinaunginya, TV AlHijrah turut menyediakan pelbagai bentuk hiburan alternatif sepanjang penghujung bulan Maulidurrasul ini. TV AlHijrah boleh ditonton di Facebook, Saluran 114 Astro, Unifi TV & MyFreeview – AlHijrah Online / Faez Baderolhesam.


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading