PRU-15: UTAMAKAN KRITERIA CALON BERBANDING PARTI

Gambar fail. Sumber BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kriteria calon wakil rakyat perlu menjadi keutamaan berbanding parti yang diwakili supaya pemimpin tersebut dapat memperjuang nasib rakyat.

Bagi pengundi khususnya yang beragama Islam, pendakwah bebas, Furqan Abdullah berkata calon yang patut dipilih seharusnya yang kurang memberi mudarat, tetapi sentiasa mendahulukan kepentingan awam.

“Sebahagian ulama menyatakan bahawa dalam konteks pemilihan pemimpin, sistem demokrasi dan sebagainya, kita lihat konsep pertimbangan atau al muwazanah bainal masalih wal mafasid.”

Kita lihat pertimbangan antara maslahah (kepentingan umum atau kebaikan) dan mafasid (kerosakan atau mudarat). Sejauh mana kita sebagai umat Islam atau rakyat Malaysia menimbang antara yang baik dan tidak baik.”

Tambahnya, antara sifat dan kriteria pemimpin yang perlu dipilih menurut agama ialah berpengetahuan tinggi, kompeten dan amanah dalam menggalas tugas terutama melibatkan pentadbiran negara.

Menurutnya, walaupun pengundi dilihat sukar untuk memilih calon terbaik pada pilihan raya kali ini, namun amanah untuk memilih pemimpin tetap digalas pada bahu setiap rakyat demi membawa hala tuju negara.

“Dari sudut maslahah khas atau kepentingan peribadi, kenapa nak balik kampung mengundi? Keputusannya sama saja. Tapi kalau melihat masalahat lebih umum, kita nak memilih individu pemimpin yang lebih baik dan boleh bawa suara dan kepentingan rakyat. Maka perlu buat keputusan iaitu berusaha menyertai dalam pilihan raya.”

Dalam pada itu, parti politik yang bertanding juga diseru agar meletakkan calon berwibawa demi memberi pilihan terbaik kepada rakyat untuk mengundi serta tidak mengamalkan politik kotor seperti fitnah dan sentimen tidak berasas.–AlHijrah Online

Leave a Reply