Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

PULUHAN KHEMAH RAKYAT PALESTIN TENGGELAM AKIBAT HUJAN LEBAT DI SELATAN GAZA

DUNIA

PULUHAN KHEMAH RAKYAT PALESTIN TENGGELAM AKIBAT HUJAN LEBAT DI SELATAN GAZA

Hujan lebat menenggelamkan puluhan khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Semenanjung Gaza susulan cuaca buruk di wilayah itu.

Sumber Gambar: AFP

BANDARAYA GAZA: Hujan lebat menenggelamkan puluhan khemah yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Semenanjung Gaza susulan cuaca buruk di wilayah itu, menurut saksi pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Beberapa khemah roboh akibat hujan di kawasan al-Mawasi di Khan Younis, manakala yang lain diterbangkan angin kencang, menurut saksi kepada Anadolu.

“Keadaan di bandar ini amat dahsyat berikutan kemusnahan kebanyakan jalan, rangkaian paip air dan pembetungan akibat serangan Israel,” kata jurucakap Majlis Perbandaran Khan Younis, Saib Luqan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, tentera Israel telah memusnahkan 220,000 meter linear rangkaian jalan raya dalam tempoh dua tahun lalu.

Luqan berkata hampir 900,000 penduduk di Khan Younis kini berdepan keadaan “tragik dan suram” akibat cuaca buruk.

Beliau menambah bahawa pasukan majlis perbandaran bekerja dengan peralatan yang tidak mencukupi untuk membantu penduduk yang terjejas akibat cuaca.

Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa berkata Semenanjung Gaza sedang berdepan malapetaka kemanusiaan yang semakin buruk apabila sistem ribut baharu melanda, manakala tempat perlindungan asas kekal tidak tersedia ekoran kegagalan Israel memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober.

Jurucakap Hamas Hazem Qassem dalam satu kenyataan berkata bahawa wilayah itu sedang mengalami “malapetaka yang semakin meningkat dengan ketibaan cuaca buruk baharu yang menyebabkan air banjir memasuki khemah sekali gus menjejaskan kanak-kanak, wanita dan pesakit yang kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah ketiadaan keperluan perlindungan asas.”

Beliau berkata sekatan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza, penutupan lintasan sempadan dan sekatan terhadap usaha pembinaan semula merupakan “sambungan kepada tindakan genosid menggunakan cara lain.”

Qassem menggesa Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil langkah serius untuk memberi bantuan kepada penduduk Gaza, khususnya ketika musim sejuk semakin hampir dan “memburukkan lagi penderitaan mereka yang kehilangan tempat tinggal ke tahap yang tidak tertanggung.”

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, 1.5 juta rakyat Palestin kini kehilangan tempat tinggal di Gaza serta hidup dalam keadaan yang sangat teruk dengan sedikit akses kepada keperluan asas dan perkhidmatan penting ekoran sekatan berterusan Israel.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,900 yang lain dalam serangan dua tahun yang memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading