PUSAT BANDAR UTARA, SEKITAR PASAR BORONG SELAYANG DIKENAKAN PKPD SEHINGGA 3 MEI

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk meletakkan Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang, di Kuala Lumpur, dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 3 Mei depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk melaksanakan arahan PKPD ke-6 tersebut dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan, melibatkan lapan parcel yang telah dikenal pasti seperti berikut:

  1. Parcel A: Jalan 6/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  2. Parcel B:  Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  3. Parcel C: Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  4. Parcel D:  Jalan 2/3A, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur
  5. Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  6. Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D, Kuala Lumpur
  7. Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B, Kuala Lumpur
  8. Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar, Kuala Lumpur

Untuk penjelasan, Pasar Borong Kuala Lumpur yang lebih dikenali sebagai Pasar Borong Selayang tidak dikenakan PKPD, cuma kawasan sekitarnya sahaja dikenakan PKPD.

Ismail Sabri berkata PKPD ke-6 ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19 dan langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan, sepanjang tempoh ini berkuatkuasa.

“Semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan IPD Sentul di 03-4048 2212,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP, di sini, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, operasi Pasar Borong Selayang tidak ditutup dan beroperasi seperti biasa sekali gus PKPD itu hanya terpakai untuk kawasan perumahan berdekatan, yang mempunyai majoriti etnik Rohingya.

Sebagai latar belakang mengikut statistik, terdapat 28 kes positif COVID-19 di kawasan sekitar Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Selayang dilaporkan setakat ini.

Sebelum ini PKPD dilaksanakan di lima kawasan berikut sehingga 28 April ini membabitkan:

  1. Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor
  2. Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor
  3. Menara City One, Kuala Lumpur.
  4. Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Kuala Lumpur
  5. Masjid India di Kuala Lumpur dan sekitarnya merangkumi Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

— BERNAMA

Leave a Reply