RM190,000 DARI TABUNG WAKAF MASJID HIJAU TELAH DIAGIHKAN – YWM

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM190,000 telah diagihkan dari Tabung Wakaf Masjid Hijau iaitu dana untuk membantu membiayai projek atau aktiviti pembangunan masjid berteknologi hijau di Malaysia.
Menurut Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Tabung Wakaf Masjid Hijau setakat ini telah membiayai empat projek naik taraf masjid di beberapa negeri.
“Antara projek yang telah dibiayai ialah sistem solar di bumbung Masjid Jamek Dato’ Klana Petra Sendeng, Negeri Sembilan yang bernilai RM60,000.
“Selain itu dana Tabung Wakaf Masjid Hijau juga digunakan untuk sistem pengumpulan dan rawatan air hujan dan pili cekap air di Masjid Jamek, Tan Sri Ainuddin Wahid, Johor yang berjumlah RM50,000,” kata YWM.
Dua lagi projek yang menerima agihan Tabung Wakaf Masjid Hijau ialah sistem solar di bumbung Masjid Nurul Iman, Pulau Pinang yang bernilai RM60,000 dan kebun Bandar Lestari Kaedah Vertical Plant di Masjid Zaid bin Haritsah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjumlah RM20,000.
Tabung Wakaf Masjid Hijau merupakan inisiatif kerjasama YWM dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Ia digerakkan untuk mengurangkan beban kos operasi masjid dan surau, meningkatkan kelestarian alam sekitar dan memupuk kesedaran masyarakat dengan menanamkan budaya gaya hidup hijau.
Sehingga 30 April lalu, jumlah kutipan dari tabung tersebut ialah RM221,602.93.
Orang ramai diajak untuk menyertai kempen itu dengan menyumbang kepada Tabung Wakaf Masjid Hijau bermula serendah RM1.00 dan tiada had maksima ditetapkan.
Sumbangan boleh dibuat melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia https://www.ywm.gov.my/wakaf-online atau menyumbang secara tunai ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank (𝟮𝟭𝟮𝟰-𝟱𝟳𝟲𝟬𝟬𝟰-𝟲𝟭𝟯𝟴)
Layari https://www.ywm.gov.my/tabung-wakaf-masjid-hijau untuk maklumat lanjut berhubung kempen Tabung Wakaf Masjid Hijau. – AlHijrah Online