RM196.3 JUTA DISUMBANGKAN MENERUSI #MusaadahCovid-19

PUTRAJAYA: Setakat Mei lalu, sejumlah RM196.3 juta telah disalurkan kepada 10 golongan sasar yang memerlukan termasuk asnaf zakat di seluruh negara menerusi inisiatif #MusaadahCovid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, bantuan tersebut bermula sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu.

“Bagi kami, kita sudah mengerakkan melalui #MusaadahCOVID-19 dengan menyalurkan sumbangan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan di seluruh Malaysia dengan perbelanjaan sudah mencecah RM196.3 juta sehingga Mei 2020.

“Bermula 18 Mac, kita menjelajah dari Perlis hingga ke Sabah bagi menyalurkan bantuan mengikut kemampuan kami,” katanya pada dalam sidang media sempena 100 hari menjawat jawatan sebagai Menteri di JPM di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya hari ini.

Selain itu, RM5.3 juta diperuntukkan menerusi Program Pembiayaan Mikro i-Tekad bagi membantu usahawan mikro B40 dan asnaf yang terjejas akibat Covid-19.

“Alhamdulilah kerjasama diantara MAIWP, Bank Islam dan SME Corporation membuahkan hasil yang memanfaat kepada umat Islam.

“Program pembiayaan mikro i-Tekad merupakan program kewangan sosial bertujuan menyokong dan memudahkan pembiayaan bagi usahawan mikro B40 dan asnaf yang kebanyakkan punca pendapatan perniagaan terjejas akibat wabak COVID-19,”

Sementara itu, bagi memperkasa syiar Islam di peringkat persekutuan, turut dilancarkan laman sesawang http://www.mira.gov.my yang menyediakan akses maklumat berkaitan JPM (Hal Ehwal Agama) yang merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah negara.

“Alhamdulillah, walaupun 3-4 hari dilancarkan, kunjungan sudah melebihi 20,000 pelawat,” katanya.

Menerusi laman web tersebut turut membolehkan rakyat melihat pencapaian Kad Laporan Bulanan 100 hari JPM (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi dan jabatan di bawah pentadbirannya dalam memastikan setiap inisiatif tersebut dapat dijalankan. — Alhijrah Online / Abdul Hakim Hasan

Leave a Reply