TIDAK MAMPU BAYAR SEWA, ATLET PARALIMPIK SEWA SURAU LAMA

SEREMBAN: Kesukaran membayar sewa rumah yang dinaikkan harga oleh pemiliknya menyebabkan atlet paralimpik negara acara boling padang, Mohd Zaiani Mohd Diah,41, bersama isteri dan empat orang anaknya terpaksa keluar dan menyewa sebuah surau lama di Taman Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.
Surau tersebut kini tidak lagi digunakan kerana telah berpindah ke bangunan surau baharu.
Mohd Zaiani berkata, atas ihsan ahli jawatankuasa surau tersebut serta penduduk setempat, enam beranak ini diberi kebenaran untuk tinggal dan menyewa dengan kadar RM200 sebulan.
“Saya pernah mewakili Negeri Sembilan dalam acara boling sepuluh pin pada tahun 2014 hingga 2017 sebelum mula aktif dalam acara boling padang dan mewakili negara dalam Sukan Asia Paralimpik 2019 di Bukit Kiara tahun lalu,” kata Mohd Zaiani.
Beliau kini menjalankan perkhidmatan urutan dan bekam untuk menyara keluarga.
Mohd Zaiani juga merupakan tenaga pengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau, Negeri Sembilan.
Prihatin dengan nasib Mohd Zaiani sekeluarga, Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS (PBMalNS MAINS) turun menyampaikan bantuan tunai segera serta mengambil maklumat terkini untuk penyaluran bantuan semalam (16 Jun).

PBMalNS MAINS memaklumkan, bantuan susulan akan disalurkan kepada Mohd Zaiani sekeluarga setelah semua permohonan dinilai. – AlHijrah Online/ Zaim Zamani