TV ALHIJRAH RAIH 10.8 JUTA PENONTON SEPANJANG PKP, RAMADAN DAN SYAWAL

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Islamik negara, TV AlHijrah meraih 10.8 juta penonton sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ramadan dan minggu pertama Syawal bagi tahun 2020.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan lima peratus berbanding kira-kira 10.2 juta penonton yang diraih TV AlHijrah untuk tempoh masa sama pada 2019.

Program terbaharu TV AlHijrah Malaysia #QuranTime dan My #Qurantime antara rancangan mendapat jumlah tontonan yang tinggi setakat ini.

Kejayaan dikecapi stesen TV Islamik itu mendapat penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Kesungguhan, komitmen, dan semangat kerja berpasukan warga kerja yang hebat berjaya menjadikan TV Alhijrah antara pilihan utama rakyat Malaysia.

“Tahniah En. Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah dan seluruh warga kerja TV Alhijrah,” katanya Zulkifli di laman Facebook rasminya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata sokongan yang diberikan penonton stesen TV Islamik itu menjadi dorongan untuk TV AlHijrah menjadi antara saluran terbaik negara,

“Kejayaan ini juga hasil berkat usaha berterusan warga kerja TV AlHijrah yang sangat berbakat dan komited bagi menerbitkan program keagamaan  berkualiti tinggi, penyampaian yang kreatif serta relevan dengan peredaran zaman berteknologi tinggi. 

“Juga penghargaan kepada barisan kepimpinan, Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi yang memastikan TV AlHijrah kekal kompetitif bersaing pada waktu industri kini memasuki era IR4, pendigitalan dan IOT (Internet Of Things),” kata Namanzee kepada AlHijrah Online.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

Selain medium penyiaran televisyen, penonton juga boleh mengakses program-program Islamik TV AlHijrah melalui platform digital seperti Facebook, Youtube, Alhijrahmedia.com, Alhijrahnews.com dan kandungan audio melalui Spotify.

TV AlHijrah juga menyediakan program-program berbentuk berita dan hal ehwal semasa melalui Berita AlHijrah, Glob AlHijrah, Analisis dan program bual bicara Assalamualaikum.  — AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply