RM525.3 JUTA DIAGIH MENERUSI PROGRAM MUSAADAH 1.0, 2.0 DAN 3.0

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM525.3 juta dana bantuan telah berjaya disalurkan menerusi program Musaadah 1.0, 2.0 dan 3.0 yang bermula pada 18 Mac 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, daripada jumlah tersebut RM522 juta diagihkan melalui Musaadah 1.0 dan 2.0 untuk tempoh 18 Mac 2020 hingga 28 Mei 2021, manakala RM3.3 juta lagi disalurkan melalui Musaadah 3.0 yang bermula 1 Jun 2021.

“Agihan bantuan ini adalah dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (kelengkapan perubatan), baikpulih dan bina rumah, bantuan komputer riba dan sebagainya.

“Bantuan diberikan kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara merentasi agama dan bangsa. Musa’adah 1.0, 2.0 dan 3.0 adalah inisiatif kecil daripada pihak kami sebagai pelengkap kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi daripada Kerajaan yg berjumlah RM340 bilion kepada rakyat Malaysia,” kata Zulkifli.

Bagi Musaadah 3.0 yang bermula 1 Jun 2021 sempena sekatan pergerakan penuh, Zulkifli berkata pihaknya mensasarkan bantuan yang lebih giat untuk diagihkan ke seluruh Malaysia disamping kelompok sasar terbaharu iaitu rakyat Palestin di Malaysia dan di Palestin.

Agensi-agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terlibat katanya telah berjaya mengumpulkan RM3.3 juta untuk disalurkan terus kepada keluarga rakyat Palestin di Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan bantuan kepada Palestin.

“Isu Palestin khususnya Baitul Maqdis tidak akan berakhir begitu sahaja tetapi ia sentiasa menjadi perebutan selagi mana faham Zionisme terus menguasai,” katanya.

Beliau turut memetik kata-kata Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Hasani al-Nadwi dalam bukunya al-Muslimun wa Qadiyyah Filistin, “Nasihatku kepada setiap orang Arab dan umat Islam, begitu juga yang mempertahankan tanah air serta ahli politik untuk tidak mengadakan perdamaian dengan orang Yahudi walau sejauh manapun jenis perdamaian tersebut. Ini kerana ia akan mengorbankan dunia Arab di atas tempat sembelihan kebodohan dan kejahilan.”

Sebarang sumbangan ke Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM boleh dibuat melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad atas nama Yayasan Waqaf Malaysia (86-0221818-6). – AlHijrah Online

Leave a Reply