PDPR DISAMBUNG, SPM 2021 DILAKSANA TAHUN DEPAN

Sumber Gambar: Mohd RASFAN / AFP

PUTRAJAYA: Sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun diteruskan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama 25 hari.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu), sesi pembelajaran secara PdPR akan bermula dari 13 Jun hingga 15 Julai.

Manakala bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya) akan bermula dari 14 Jun hingga 16 Julai.

Radzi turut memaklumkan bagi semua sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan juga perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh tersebut berdasarkan takwim masing-masing.

Bagaimanapun, perancangan mengenai sesi persekolahan selepas tempoh itu akan diumumkan seminggu sebelum tamat cuti pertengahan penggal.

Cuti pertengahan penggal bagi sekolah kumpulan A bermula dari 16 hingga 24 Julai manakala kumpulan B bermula dari 17 hingga 25 Julai.

Sementara itu Radzi memaklumkan, kerajaan telah memutuskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diadakan pada tahun depan.

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira cabaran yang dihadapi serta memberi masa dan ruang kepada calon SPM tahun ini mengulangkaji.

Menurutnya, ujian lisan dan amali sains bagi SPM 2021 akan diadakan pada Februari 2022 manakala peperiksaan bertulis pada Mac 2022.–AlHijrah Online

Leave a Reply