SALURAN PAIP SINGKI MELETUP, DUA KANAK-KANAK MELECUR TERKENA SERBUK SODA

SERDANG: Letupan saluran paip singki di sebuah rumah tingkat satu pangsapuri di Seri Kembangan pada Selasa menyebabkan dua kanak-kanak melecur akibat terkena cecair dipercayai asid serbuk soda.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian itu disedari ibu dan bapa mangsa selepas terdengar bunyi letupan dan jeritan anak mereka.
“Cecair dipercayai asid serbuk soda itu dari saluran paip singki tingkat atas rumah mangsa.
“Pemilik rumah di tingkat dua itu dipercayai menggunakan serbuk soda untuk membersihkan saluran paip yang tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melecur tahap tiga di bahagian dahi, kepala, bahu, badan, lengan dan paha.
Manakala seorang lagi mangsa kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun melecur di paha kanan.
Kedua-dua dalam keadaan stabil dan mangsa kanak-kanak lelaki masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kebakaran Hospital Kuala Lumpur manakala seorang lagi mangsa telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.
Anbalagan berkata pemilik rumah tingkat 2 telah dirakam percakapan dan dia memaklumkan ada menggunakan serbuk serbuk soda yang dibeli dari atas talian bernilai RM50.
Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957. – AlHijrah Online