SEKOLAH TAHFIZ PERAK TERBUKTI BERJAYA

Gambar hiasan

IPOH, 21 Jun – Program yang disusun kerajaan negeri Perak untuk sekolah tahfiz telah membuahkan hasil apabila terdapat pelajar yang berjaya mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata kejayaan tersebut juga membuktikan bahawa pelajar tahfiz mempunyai masa depan yang cerah.

Beliau mengambil contoh kejayaan Muhammad Hanzalah Ahmad Shukry, 19, yang mewakili Malaysia ke Pertandingan Hafazan Antarabangsa Kali ke-13 di Algeria bermula Khamis ini.

“Dengan kejayaan pelajar muda ini telah membuktikan setiap pelajar tahfiz berpotensi untuk berjaya. Oleh itu tanggapan bahawa mereka tidak akan ke mana-mana hanya dengan pandai menghafaz harus dibuang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Hanzalah.

Sementara itu, Muhammad Hanzalah ketika ditemui berkata beliau meletakkan sasaran untuk merangkul gelaran juara bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Setakat ini Malaysia belum pernah menjuarai pertandingan ini dan kedudukan terbaik negara kita sebelum ini hanyalah di tempat kelima dan jika menang ia hadiah untuk ibu bapa, guru-guru dan negara kita,” katanya.

Anak keenam daripada 12 adik-beradik itu mula menghafal Al-Quran sejak berumur 15 tahun dan pencapaian terbaik beliau adalah memenangi pertandingan hafazan al-Quran peringkat negeri pada tahun 2016.

Pelajar dari Sekolah Tahfiz Taman Lake View Taiping itu berkata beliau akan meluangkan masa setiap hari untuk menghafal sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran setiap hari.

“Ini adalah kali pertama saya berpeluang mewakili negara bertanding dengan lebih 40 peserta dari seluruh dunia. Ia satu tanggungjawab besar dan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply