Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

SEMUA SBP LAKSANA BIDANG STEM – KPM

DALAM NEGARA

SEMUA SBP LAKSANA BIDANG STEM – KPM

KPM juga memaklumkan, tumpuan kementerian itu ketika ini adalah untuk meningkatkan enrolmen pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.

KUALA LUMPUR: Semua sekolah berasrama penuh (SBP) sedang melaksanakan pakej bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha merealisasikan sasaran dasar 60 peratus murid dalam bidang STEM di semua sekolah di negara ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak 18,113 atau 98.86 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar SBP mengambil pakej STEM manakala bakinya 209 pelajar SBP atau 1.14 peratus lagi mengambil pakej Sains Sosial.

“Pakej STEM di SBP yang ditawarkan kepada pelajar adalah mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan; atau semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

“Pakej STEM yang turut ditawarkan ialah pelajar mengambil semua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi), Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran; atau pelajar yang mengambil dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan serta Sains Komputer,” menurut kenyataan itu.

KPM juga memaklumkan, tumpuan kementerian itu ketika ini adalah untuk meningkatkan enrolmen pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.

“KPM akan turut memperkenalkan inisiatif SBP khusus yang memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“KPM menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk meningkatkan bilangan murid dalam bidang STEM bagi menampung keperluan sumber manusia dalam bidang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menurut KPM pihaknya akan turut meningkatkan kerjasama rentas kementerian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memperkasakan pembudayaan STEM di semua jenis sekolah dan di setiap peringkat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di sekolah berasrama penuh memilih aliran STEM bermula pada tahun hadapan bagi memperkukuh penguasaan dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam STEM perlu dilaksanakan segera pada tahun ini, sejajar dengan kepentingan bidang berkenaan dalam pembangunan negara. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading