COVID-19: SEORANG WARTAWAN DI JOHOR BAHRU DIARAH KUARANTIN
KUALA LUMPUR: Seorang wartawan di Johor Bahru, Johor, diarah menjalani kuarantin selama 14 hari selepas beliau menunjukkan simptom wabak Covid-19.
Wartawan media elektronik berusia 34 tahun itu kini menjalani kuarantin di rumahnya dengan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pemantauan harian.
Harian Metro melaporkan wartawan itu mula demam dengan suhu 40 darjah celcius sejak 17 Mac lalu dan simptom itu dikesan ketika beliau menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum satu sidang media di Johor Bahru.
Beliau kemudian diminta ke hospital untuk membuat saringan COVID-19, namun keputusan ujian itu menunjukkan negatif wabak terbabit.
Wartawan itu ketika dihubungi Harian Metro berkata, selepas dua hari berehat di rumah, beliau bekerja seperti biasa, namum demam semula, sakit tekak serta batuk teruk.
“Bimbang dengan keadaan diri, maka saya jalani ujian saringan kedua dan keputusannya tetap negatif Covid-19,” katanya.
Memandang simptom itu berulang dalam tempoh kurang 10 hari, beliau diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah di bawah pemantauan hospital.
Disebabkan proses kuarantin itu, semua ahli keluarganya kini menumpang sementara di rumah kakaknya dan beliau diarah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 2 April nanti. — AlHijrah Online