SEPATUTNYA KONSERT TIDAK PERLU ADA – IDRIS AHMAD

MELAKA: Acara hiburan seperti konsert sepatutnya tidak perlu dianjurkan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata beliau bukan anti hiburan, namun tidak bersetuju dengan penganjuran konsert yang boleh mengundang pelbagai masalah sosial.

“Sepatutnya konsert tidak perlu ada. Bukan anti hiburan tetapi cukuplah dengan apa yang kita ada.

“Kita baru saja mengalami pandemik dan Alhamdulilah, Allah tarik semula penyakit itu tetapi tiba-tiba kita buat macam ini, jadi amat malanglah.

“Dalam keadaan ekonomi yang teruk ini pun rasanya tidak sesuai sebab (penganjuran dan tiket) konsert itu kena bayar banyak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan dewan besar dan upacara pecah tanah Pondok Kitab Turath di Kompleks Pendidikan Al Rahmat, Duyong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran konsert yang silih berganti. – AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply