BIDOR: Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, sering memuat naik kandungan berkaitan kematian di aplikasi media sosial sejak dua minggu lalu.
Kakak sulung kepada Allahyarham, Nur Azza Assyaqiren Azhar, 29, berkata, Ahmad Azza yang mesra disapa Ami, pada awalnya dia merasakan tindakan adiknya itu seakan memberi tanda-tanda namun dia mengelakkan dari berfikir sedemikian.
“Selama dua minggu lepas, saya perhatikan status WhatsApp dia kebanyakkan berkaitan kematian. Tetapi saya taknak fikir adik saya akan pergi, takkan saya nak fikir sebegitu.
“Jadi saya hanya berfikir mungkin dia hendak berubah jadi lebih baik, saya hanya fikir baik-baik kerana kami tidak mahu kehilangan Ami,” katanya semasa ditemui wartawan Berita AlHijrah di rumah kediaman keluarganya.
Menurut Nur Azza, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada kali terakhir mereka sekeluarga bertemu pada awal Ramadan lalu.
Namun katanya, tindakan anak keempat daripada lapan adik beradik itu menimbulkan kegusaran terhadap ahli keluarganya.
Nur Azza memaklumkan dia sangat terkejut selepas mendapat berita kematian adiknya selepas terlibat dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, awal pagi tadi.
“Ami baru dua tahun berkhidmat sebagai anggota polis, dia seorang yang sangat pemurah dan pentingkan ahli keluarganya.
“Ami berusaha bersungguh-sungguh untuk jadi anggota polis untuk membanggakan ibu bapa kami,” katanya.
Allahyarham Ahmad Azza antara dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor bahru awal pagi tadi dijangka akan dikebumikan pada tengahari esok, di Kampung Poh Tambahan, di sini.—AlHijrah Online