SIDANG KEMUNCAK KL PERMULAAN KECIL DALAM MENANGANI ISU-ISU UMMAH: TUN MAHATHIR

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemundak KL) bukan bertujuan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa, sebaliknya ia berhasrat untuk mencari jalan bagi menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia Islam dan ummah.

“Kita bukan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa. Kita berhasrat untuk bermula secara kecil, dan sekiranya idea, saranan, dan penyelesaian yang dihasilkan boleh diterima dan dibuktikan dapat dilaksanakan, kita harap ia boleh dibawa ke platform yang lebih besar untuk pertimbangan,” katanya.

Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata demikian semasa menyampaikan kata-kata aluan di majlis pelancaran persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata hampir semua negara-negara Islam dijemput untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak ini, tanpa mengira peringkat.

Beliau berkata demikian dalam perhimpunan pagi ini yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta lain-lain pemimpin negara Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sidang kemuncak itu dianjurkan bukan untuk berbincang mengenai agama, sebaliknya ia perbincangan mengenai hal ehwal ummah.

“Islam, kaum Muslim dan negara mereka berada dalam krisis, tidak berdaya, tidak layak bagi agama agung ini yang dimaksudkan untuk menjadi yang terbaik bagi umat manusia,” kata perdana menteri.

Beliau berkata atas alasan-asalan inilah sidang kemuncak ini dianjurkan, dan setidak-tidaknya para peserta mungkin akan dapat mengenal pasti di mana silapnya, menerusi perbincangan pada sesi sidang ini. — BERNAMA

Leave a Reply