SINDIKET PELACURAN BERJAYA DITUMPAS POLIS

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan, promosi pelacuran dan cuci wang haram, malam tadi di Cheras.

Sindiket bersasarkan pelanggan dari China itu dikesan hasil dua serbuan berasingan di dua buah kondominium di Kajang dan Cheras.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, risikan polis bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap sebuah kondominium di Kajang itu membuahkan hasil.

“Tujuh lelaki dan seorang wanita warga China berusia 21 hingga 28 tahun ditahan, dan polis merampas sejumlah wang tunai RM2.5 juta serta terdapat pelbagai pil disyaki dadah sintetik,” katanya.

Huzir menyatakan, hasil daripada soal siasat yang dilakukan membongkar satu lagi kegiatan haram di sebuah kondominium di Cheras dengan menahan lapan lagi individu.

Suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita warga China, juga sepasang warga tempatan, yang berusia 22 hingga 48 tahun.

“Pelanggan di China, semua aktiviti di China, cuma promosi dilakukan melalui internet, dan ada juga unsur penipuan di sana dan kita percaya banyaknya seperti ‘calling centre’ yang lain semua kebanyakannya market di China,” katanya.

Pihak polis percaya sindiket itu beroperasi sejak dua bulan lalu, dan dalam pemeriksaan tersebut terdapat sindiket pertukaran wang asing secara haram dalam komputer riba.

Kedua-dua kes serbuan itu dibuat mengikut Sekyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960 dan Seksyen 372 (E) Kanun Keseksaan.–AlHijrah Online

Leave a Reply