SMARTHALAL QR CODE, SEMAKAN STATUS HALAL DENGAN PANTAS

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengumumkan inisiatif SmartHalal QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk memudahkan masyarakat memperoleh status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran dengan lebih cepat dan tepat melalui teknik pengimbasan kod.

“QR Code dapat menyimpan maklumat lebih banyak daripada Kod Produk Universal (UPC) biasa kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.

“Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi seperti aplikasi telefon pintar SmartHalal yang disediakan, anda akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang ingin dikongsikan,” katanya ketika pengumuman inisiatif berkenaan hari ini.

Tambahnya JAKIM akan terus mengemaskini dan menambahbaik sistem SmartHalal QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal dari semasa ke semasa agar ianya sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan oleh semua pihak.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, sistem QR Code tersebut bukan sahaja akan membantu pengguna tetapi turut membantu pemain industri untuk mendapatkan maklumat berhubung pensijilan halal.

“Sistem QR Code ini merupakan sebahagian daripada penambahbaikan Prosedur Operasi Standard dalam pensijilan halal Malaysia khususnya bagi memudahkan pengguna untuk mengetahui status halal sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih pantas di samping membantu pemain industri untuk memperoleh pelbagai informasi berkaitan prosedur pensijilan halal terkini dengan lebih cepat dan tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abdul Aziz, pengguna perlu memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem QR Code tersebut.

Beliau berharap inisiatif itu akan membawa manfaat yang besar kepada ummah seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia selaku peneraju pensijilan halal bertaraf dunia. – AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply