SOP PENUH HAJI, UMRAH AKAN DISERAH KEPADA MKN, KKM – ZULKIFLI

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) ketika bertemu Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdel Fattah Mashat (kanan).

MAKKAH: Prosedur Operasi Standard (SOP) haji dan umrah yang menyeluruh hasil perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi serta tinjauan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan diserahakn kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Zulkifli yang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdel Fattah Mashat, Riyadh belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadah haji tahun ini namun jemaah Malaysia dialu-alukan Arab Saudi untuk menjadi duyufurrahman jika dibenarkan kerana terkenal dengan sikap displin pada musim-musim haji sebelum ini.

“Insya-Allah berdasarkan kepada pertemuan kami di Arab Saudi, segala perbincangan SOP akan diangkat ke MKN dan KKM secara rasmi untuk diperhalusi dan diluluskan.

“Kami mengharapkan kita semua bersiap siaga jika kita ditakdirkan dapat melaksanakan ibadah haji tahun ini untuk memenuhi segala bentuk syarat dan sop yg telah ditetapkan,” katanya kepada media.

Menurut Zulkifli, Arab Saudi amat berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan berkenaan haji kerana bimbang ibadah itu nanti dikaitkan menjadi punca penyebaran COVID-19 ke seluruh dunia.

Ujarnya sebarang keputusan berkenaan ibadah haji akan dimaklumkan Arab Saudi dari semasa ke semasa bagi membolehkan negara terlibat melakukan persediaan.

Sementara itu, berhubung vaksin COVID-19, Kementerian Arab Saudi katanya belum menentukan jenis vaksin bagi jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini.

Setakat ini program vaksinasi Arab Saudi ke atas penduduknya hanya mengiktiraf vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Pertemuan Zulkilfi dan Dr Abdel Fattah diadakan di Makkah pada Sabtu.

Zulkifli ketika ini berada di Arab Saudi dalam rangka lawatan kerja yang berakhir hari ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply